Heboh disana sini memperkatakan tentang 90:10. Terutama sekali dikalangan pemerhati industri muzik tanah air. Pelbagai reaksi yang dapat dilihat. Ramai yang menyokong. Namun tidak kurang juga ramai yang membantah. Apakah yang dimaksudkan dengan 90:10.
90:10. Satu usul baru yang dibentangkan oleh sebuah badan yang memperjuangkan muzik tanah air, agar diwujudkan nisbah kemasukan muzik dari luar ke dalam negara kita dihadkan kepada 10 sahaja. Isunya disini, sejauh manakah relevansinya langkah ini dengan industri kita?
Tujuan yang dinyatakan adalah untuk memberi ruang yang secukupnya kepada artis-artis tempatan untuk mendapat coverage yang lebih meluas, serta mengekang… oh tidak, keras tu. Mungkin, ‘me-ngu-rang-kan’. Ya, mengurangkan pengaruh artis-artis dari luar (termasuk dari seberang). Hm… murni juga bunyinya kan? Namun begitu, persoalannya disini, adakan wajar ataupun tidak langkah ini dilaksanakan? Untuk memahaminya dengan lebih lanjut, rasanya… perlulah kita duduk sebentar, tenangkan fikiran, buka minda seluas-luasnya. Pejam mata… err, tak payahlah. Kalau tutup mata nak baca macam mana? Kita nak merayau sedikit ni. Baca bagi habis, buka minda luas-luas dan fahami.
Satu fakta yang tidak dapat untuk dinafikan; dunia sudah berubah. Perubahan itu merangkumi hampir dari setiap aspek, samada dari segi teknologi, pakaian, kenderaan, makanan dan tidak terkecuali, muzik. Hal ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, malahan di selurh dunia. Di US umpamanya, isu cetak rompak sudah hampir dilupakan oleh artis-artis mereka. Malahan mereka menggalakkan pembelian album secara online (sesungguhnya mereka tahu dan faham akan risiko bahawa filesharing secara digital amatlah mudah) – kerana mereka tahu banyak lagi cara untuk mereka mendapatkan pulangan yang lumayan, antaranya dengan mengadakan show-show besar (sebab itu jugalah tiket-tiket mereka mahal!). Nah, lupakan tentang itu, kembali kepada isu kita.
Kini senario muzik tempatan telah berubah. Tidak perlu lagi mengomel tentang kemunculan band-band bebas yang semakin lama semakin malata; dari Arau sehingga ke Johor Bharu, ke Tumpat, ke Sandakan sehinggalah ke Kuching. Semakin ramai yang semakin berani untuk mencuba secara sendiri. Malahan, semakin ramai artis arus perdana yang mula menyanyikan lagu ciptaan dan gubahan mereka sendiri. Pointnya di sini? Everyone is going indie. Semuanya sudah berani berusaha secara bebas. Bukan disini sahaja, malahan di serantau….Asia Tenggaralah, kita khususkan dahulu.
Dunia muzik indie, jika dikaitkan dengan istilah itu sendiri, tidak memerlukan sempadan (indie/independent = bebas. Uuhhh). Kita tidak lagi berada di zaman dimana sebuah rock band harus melakukan sesuatu yang dipersetujui oleh label mereka. Perlu komposer, penulis lirik… “yada-yada-yada”. Malah, dengan sendirinya mereka membina zon dan kawasan mereka sendiri. Lebih tepat, mereka dengan movement mereka sendiri.
Dapat gambaran? Belum? Okay, baca lagi.
Ternyata, mereka, band-band indie, kini lebih terbuka…tidak lagi menghadkan connection mereka dengan band-band indie tempatan, malah serantau Asia Tenggara, malahan ada yang sudah terbang sejauh UK dan US. Band-band bebas kini tidak lagi berfikiran sempit. Malah, lebih matang…lebih tersusun ambisinya. Mereka tidak lagi mengharapkan untuk menjadi terkenal di peta Malaysia sahaja. Jaringan yang dibina turut dijauhkan lagi sejauh yang mungkin, semuanya bergantung kepada idealogi yang sama.
Apa relevansinya 90:10?
Melaksanakan sistem ini, bermaksud mengehadkan kemasukan material luar ke dalam negara kita mengikut nisbah yang ditetapkan. Hmmm… mungkin selepas ini para pendengar perlu lebih kerap ke internet untuk mendengar lagu-lagu terbaru The Spill Canvas, Pink Spider, Usher, Muse hatta Coldplay sekalipun. Namun, agak musykil juga ya… adakah sistem ini benar-benar berniat untuk semua dari luar? Atau sebenarnya… ditujukan khas dan khusus buat negara jiran kita? Dengn melaksanakan langkah tersebut, (baca; melaung-laungkan usul tersebut), secara tidak langsung…kita bagaikan membunyikan semboyan ‘perang’ kepada mereka (negara jiran khususnya). Meletakkan dinding tebal sebagai sempadan untuk menghalang kebebasan perhubungan dua hala. Tiba-tiba kita menunjukkan kita bersikap tertutup. Sedangkan hakikatnya band-band indie mereka dengan kita TIDAK BEGITU SIKAPNYA.
Ya, benar, kita perlu lebih peluang dan ruang untuk aksi-aksi tempatan menyinar, namun adakah kita terlalu desperate untuk mencanangkan usul tersebut? Sedar tauapun tidak, kita secara perlahan-lahan menanam benih-benih kebencian ke dalam diri mereka terhadap diri kita. Bayangkan, selama ini anda berkawan rapat dengan rakan anda, selalu lepak di rumahnya. Pada suatu hari, tak ada angin tak ada apa, tiba-tiba beliau menutup pintu rumahnya, tidak membenarkan anda memasuki rumahnya tanpa alasan yang kukuh. Percayalah, sedikit sebanyak tentu terguris hati anda, bukan?
Yang menerima kesannya, band-band indie serantau. Selama ini mereka dengan mudah datang dan bermain disini, juga band-band kita yang selalu mendapat jemputan untuk bermain disana. Adakah anda fikir setelah kita melaksanakan usul 90:10, mereka akan menaruh kepercayaan kepada kita untuk memasarkan muzik di negara mereka? Tidak mustahil mereka akan melakukan perkara yang sama. Atau mungkin lebih teruk. Who knows? Jangan kerana kepentingan sesetengah pihak, kita mengenepikan prinsip ‘kebebasan berkarya’. Menyekat rezeki orang, samalah dengan menyekat rezeki diri sendiri. Karma, beb. Tanpa disedari, kita memperlihatkan kebodohan diri sendiri, dek kerana merasakan diri begitu terdesak, walhal realitinya tidaklah sesempit yang dirasakan.
Jika benar mahu memberi peluang kepada aksi-aksi kita, kenapa perlu ada sikap perjudis antara arus perdana dan arus bebas? Kenapa tidak diberikan layanan yang sama rata? Kenapa perlu takut untuk membuat sedikit ‘pelaburan’ demi memperkembangkan lagi industri? Kenapa hanya memutarkan lagu-lagu band atau artis yang menghiasi tabloid saban minggu? Berilah kepercayaan kepada artis-artis bebas untuk beraksi sekerap artis-artis arus perdana beraksi di pentas-pentas besar. Ya. Banyak juga terjadi insiden-insiden negatif melibatkan band-band indie. Namun sampai bila kita harus berpegang kepada prinsip “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”? Kenapa tidak kita belajar menerima dan membimbing mereka? Dalam sekampit beras, tidak semua beras putih butirnya, namun adakah berbahaya ianya untuk dimakan setelah ditanak? Jawab sendiri.
Nyata, kita belajar untuk memperbaiki kekurangan yang ada pada diri sendiri, kita sebenarnya tidak memerlukan langkah penghadan tersebut. Kita hanya perlu mempercayai akan bakat dan kebolehan kita sendiri. Itu sahaja.
Wassalam.

0 feedback:
Post a Comment